BERMULA SEBUAH KISAH - PERMULAAN HACAM DI MALAYSIA



Pada 2008, MK Rahman baru mula mengenal rentis di sekitar Malaysia. Pada masa itu, beliau tidak mengenali mana-mana penggiat mendaki gunung yang lain.
Pencariannya mempertemukan beliau dengan beberapa orang peminat mendaki. Mereka berjumpa saban minggu di bangunan Dayabumi untuk berkomplot dan merancang pendakian.
Beliau juga giat mencari maklumat dalam Internet, tapi sayang, kebanyakannya hanya dimuatkan dalam laman web luar negara.
Lalu, MK Rahman menubuhkan satu komuniti di Facebook dengan nama Hiking And Camping Around Malaysia atau singkatannya HACAM.
“Tetapi sebenarnya pada waktu itu sudah ada dua komuniti mendaki yang aktif. Saya akan jumpa lebih awal kalau guna kata kunci ‘gunung’,” kata MK.
© Ikhwan Ibrahim
Foto Ikhwan Ibrahim
Pada peringkat awal, HACAM menganjurkan beberapa pendakian ke beberapa lokasi berdekatan seperti Bukit Tabuh, Kem Lolo dan Bukit Tabuh.
Selepas itu, HACAM kian meriah apabila beliau melantik 30 orang individu menjadi pentadbir komuniti berkenaan. Pentadbir ini terdiri daripada pendaki yang sememangnya aktif menganjurkan trip.
“Pada 2013, kita berjaya anjurkan 42 trip. Pada 2015, kita kurang aktif tetapi berjaya mengumpulkan kira-kira 50,000 orang ahli,” katanya.
Kini, ia muncul sebagai antara komuniti Facebook yang paling popular di Malaysia dengan keanggotaan lebih 100,000 ahli. Lalu, apakah jalan seterusnya untuk HACAM?
Kegiatan mendaki kini memuncak popular, terutama di kalangan warga muda. Ramai yang tertarik untuk turut serta mendaki apabila melihat gambar rakan-rakan mereka di Facebook.
cm choneFoto CM Chone
Ia memberi akses kepada golongan muda untuk menikmati kekayaan alam – yang sebenarnya terletak tidak jauh pun dari bandar.
Namun pada masa sama populariti itu turut membawa padah. Setiap minggu, ada saja ahli yang melaporkan penemuan pelbagai jenis sampah
“Bila sudah ramai mendaki dan hiking menjadi popular, muncul rungutan mengenai hiker yang tak bertanggungjawab, suka buang sampah dan menconteng.
“Sekarang, kami fikir, kita tidak perlu lagi promosi hiking. Apa yang kita perlu buat adalah tingkatkan kesedaran supaya hiker lebih bertanggungjawab dan sayang pada alam sekitar,” kata MK.
Beliau berucap pada lebih 50 orang yang hadir pada acara perasmian jersi baharu HACAM, hujung minggu lalu.
Acara itu menjadi titik plot baru bagi komuniti HACAM. Bertolak dari komuniti untuk mempromosi kegatan mendaki, kini ia menjadi satu organisasi yang berkempen untuk memelihara alam.
Sudah tiba masanya HACAM mengambil jalan ini, kata seorang ahlinya, Shah Redza Hussein. Aktivis alam sekitar ini berharap, ia akan dapat memupuk sikap pendaki baru untuk menyayangi hutan.
“Alam semulajadi adalah tempat hiker berekreasi. Kita nak terapkan supaya hiker lebih bertanggungjawab dan tolong pertahan alam semulajadi.
“Kalau kita yang menikmati alam pun tak jaga, apatah lagi orang yang memang tidak menikmatinya,” kata Shah Redza yang juga bekas pengarah eksekutif Malaysian Nature Society dan juga WWF Malaysia.
Credit to : kembara.my

Comments

Popular Posts